LUBUK ANTU: Kerajaan Madani setakat ini sudah meluluskan lebih 1,000 projek Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadilah Yusof berkata, keseluruhan nilai projek terbabit mencecah hampir RM200 juta.
"Tahun depan, saya berharap lebih ramai yang sudah sedar tentang projek ini dan mula merancang, cuma saya mengharapkan janganlah semua mohon satu jenis projek yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Mock Cheque Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) Daerah Lubok Antu di Kompleks Sukan Lubok Antu, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, projek terbabit mempunyai pelbagai jenis dalam satu daerah di Sarawak kerana projek yang sama menyebabkan persaingan dan menjadi tidak produktif serta tidak berdaya tahan.
Katanya, projek tersebut mempunyai lima kriteria dan merangkumi projek pertanian seperti penanaman sayuran atau memelihara ikan, projek menghasilkan baja, bina bot atau inap desa, sewa kerusi, meja, khemah dan sebagainya yang boleh memberi manfaat dari segi pendapatan kepada komuniti.
"Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah badan yang paling mudah untuk melaksanakan (permohonan projek)," katanya.
Beliau sehubungan itu berharap JKKK dan komuniti di Sarawak berbincang dengan Pejabat Daerah kawasan masing-masing bagi mendapatkan nasihat untuk memohon projek itu.